Jumaat, 7 September 2012

Kanak - Kanak Ditemui Di Bawah Mayat

Anggota polis mengawal lokasi kanak-kanak bersembunyi dalam kereta BMW 

PARIS – Seorang kanak-kanak perempuan warga Britain berusia empat tahun bersembunyi selama lapan jam di bawah dua mayat ahli keluarganya yang mati ditembak di tempat duduk belakang sebuah kereta BMW di kawasan pergunungan Alps di Perancis kelmarin.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline.

Pendakwa raya bandar Annecy, Eric Maillaud berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh beberapa anggota polis.

Mayat seorang lelaki yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan ditemui di tempat duduk depan kereta tersebut. Seorang penunggang basikal warga tempatan turut ditemui mati berhampiran tempat kejadian.

Turut ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah seorang lagi budak perempuan berusia sekitar tujuh tahun yang merupakan kakak budak kanak-kanak tersebut. Budak itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan kerana cedera ditembak manakala tengkoraknya retak.

Menurut Maillaud, kereta BMW berkenaan milik sebuah keluarga Britain yang bercuti di kem perkhemahan di tepi Tasik Annecy. Tasik itu yang terletak di banjaran Alps merupakan kawasan percutian popular di Perancis.

Pemilik kem perkhemahan tersebut memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka yang maut terdiri daripada ibu, bapa dan nenek kanak-kanak itu.

Seorang individu yang lalu di lokasi kejadian menghubungi polis sekitar pukul 4 petang waktu tempatan kelmarin selepas dia menemui penunggang basikal dan kakak kanak-kanak tersebut.

Kereta itu dikawal hingga tengah malam apabila beberapa penyiasat khas dari sini tiba di lokasi kejadian.

Stesen televisyen tempatan, BFM-TV memetik seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Benoit Vinnemann sebagai berkata, kanak-kanak perempuan yang selamat itu bersembunyi di bawah kaki ibunya.

Maillaud pula memberitahu, sebaik sahaja pasukan penyiasat membuka pintu kenderaan, budak perempuan itu muncul sambil tersenyum dan mendepakan tangannya.

Dia bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi tidak dapat menceritakan apa yang berlaku. Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah penjagaan polis.

Penunggang basikal tempatan yang ditemui berhampiran kereta berkenaan pula didapati tidak mempunyai hubungan dengan keluarga Britain itu. Identiti lelaki tersebut hanya dikenal pasti selepas kehilangannya dilaporkan oleh isterinya.

Kata Maillaud, sekitar 15 kelongsong peluru turut ditemui berdekatan kereta tersebut. Polis masih belum mengetahui punca kejadian itu. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan