Selasa, 18 September 2012

Kedutaan AS Dilempar Bom Petrol Di Jakarta

Penunjuk perasaan membaling batu ke arah Kedutaan Amerika Syarikat 

JAKARTA - Sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini semalam selepas tunjuk perasaan membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi ganas.

Beratus-ratus orang di Indonesia menunjuk perasaan pada Jumaat dan Sabtu lalu kerana membantah filem bajet rendah, Innocence of Muslims yang menghina agama Islam tetapi bantahan tersebut berlangsung secara aman.

Namun, demonstrasi yang diadakan semalam bertukar ganas apabila sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan melaungkan slogan anti-AS.

Polis pencegah rusuhan bertindak balas dengan menembak meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha menyuraikan sekitar 700 penunjuk perasaan.

Anggota-anggota polis turut dilihat menendang dan menyeret beberapa penunjuk perasaan ketika asap hitam daripada bom-bom petrol itu menyelubungi udara.

Seorang anggota polis yang cedera di muka dibawa meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki ambulans.

"Amerika, Amerika pergi jahanam!" laung beberapa penunjuk perasaan dengan sebahagian mereka membawa sepanduk yang menyatakan, "hapuskan Amerika" dan "penggal kepala mereka yang menghina Islam"

.
Bendera Amerika Syarikat dan Israel dibakar di bandar Marawi, Pulau Mindanao semalam

Sebelum ini, seorang lelaki yang dikatakan penulis skrip filem itu, Nakoula Basseley Nakoula mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu disiarkan di laman YouTube.

Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.

Pada minggu lalu, agensi berita melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.

Ia melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun. Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.

Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas. Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.

Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai "haiwan Islam yang pertama".

Beberapa tunjuk perasaan turut berlaku semalam di Yemen, India. Filipina, Pakistan dan penduduk Islam di London. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan