Khamis, 13 September 2012

Komen Anti - Sarawak Serius


KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak bimbang berhubung komen-komen yang dimuatkan di dalam laman Facebook yang didaftarkan dengan nama ‘Semenanjung Anti-Sarawak’ yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sarawak.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh AMK, laman itu didapati bermula pada 17 Oktober 2010 dan sudah menular sejak beberapa bulan lalu dengan kandungan dan kenyataan yang berbaur perkauman dan diskriminasi dengan beberapa kenyataan yang diajukan kepada masyarakat Kristian di Sarawak.

Beberapa komen dipetik dari laman sosial tersebut berkata, penduduk di Sarawak dianggap sebagai haiwan, malah membayangkan orang Sarawak berbau busuk dan menjalani kehidupan yang tidak bermoral.

AMK Sarawak memandang serius isu itu dan menggesa pihak berkuasa terutamanya polis agar melancarkan siasatan sebelum ia menjadi faktor yang boleh memecahbelahkan penduduk di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, terdapat juga komen di laman sosial tersebut seakan-akan membayangkan bahawa pemilik akaun itu mungkin ‘cyber trooper’ UMNO atau penyokong UMNO berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan mereka.

Laman sosial tersebut dipetik: “Pada pilihan raya akan datang, orang Sarawak harus mengundi untuk parti UMNO Sarawak… ini bukan satu ugutan, jika anda tidak memilih parti UMNO anda, kami akan mengeluarkan Sarawak dari negara Malaysia, dan sedarilah bahawa anda akan menjadi lebih miskin tanpa Malaysia.”

Namun demikian, AMK Sarawak ingin menyeru kepada semua pihak agar membantu polis untuk memastikan dalang di sebalik angkara itu dapat ditahan, tidak kira apa pun fahaman politik mereka.

“Diskriminasi dan sikap perkauman seperti ini harus dihentikan sama sekali kerana kita tinggal di sebuah negara yang majmuk dan semua orang wajar menghormati kebudayaan, kepercayaan dan tradisi satu sama lain,” kata Naib Ketua AMK Sarawak Simon Siah Sy Jen.

Sementara itu, beberapa wakil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) hadir membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Simpang Tiga semalam.

Antara yang hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen, ADUN Padungan Wong King Wei dan ADUN Batu Lintang See Chee How.

Chong semasa ditemui pemberita turut meluahkan kerisauannya berhubung perkara tersebut dan mencabar pihak polis untuk menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh tiga hari daripada laporan polis tersebut dibuat semalam.

“Ini satu masalah yang serius… bagaimanapun, saya percaya pihak polis mampu menyelesaikan masalah ini terutama dengan adanya bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan