Sabtu, 15 September 2012

Lady Gaga Lancar Minyak Wangi Di New York

Majlis pelancaran minyak wangi Lady Gaga di New York kelmarin

NEW YORK - Penyanyi terkenal, Lady Gaga memakai pakaian berwarna hitam pada pelancaran minyak wangi sulungnya, Lady Gaga Fame di Muzium Guggenheim di sini kelmarin.

Beratus-ratus tetamu diminta mengenakan aksesori kepala atau sekurang-kurangnya topeng parti semasa menghadiri parti pada sebelah malam.

Antara selebriti yang hadir termasuk, Paris Hilton, Lindsay Lohan, Yoko Ono dan pereka-pereka fesyen serta model terkenal New York.

Kehadiran mereka disambut oleh beberapa model lelaki yang bertubuh sasa dan hanya memakai seluar jean ketat.

Pada majlis tersebut, sebuah filem berdurasi lima minit yang mempromosikan minyak wangi Lady Gaga turut ditayangkan.

Filem arahan jurufoto Steven Klein itu menunjukkan tubuh bintang berusia 26 tahun itu dikerumuni beberapa lelaki bersaiz kecil.

"Anda tahu, filem itu mahal," kata Klein ketika dia ditemu bual wartawan majalah Hollywood Reporter. Penghasilan filem tersebut menelan belanja lebih AS$1 juta (RM3.07 juta). Penyanyi itu turut baring di dalam sebuah botol dalam majlis pelancaran tersebut.

Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta sempat mencacah bahagian belakang kepalanya dengan tatu.

Tatu itu dihasilkan oleh Mark Mahoney yang berpengalaman selama 35 tahun mencacah tatu di hadapan tetamu yang hadir. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan