Selasa, 4 September 2012

Mangsa Culik Terharu Dengan Penghormatan Yang Diberikan



SRI AMAN: Ketika lagu menyambut hari jadi dinyanyikan buat George Lipih Ambo, rakyat Malaysia yang diculik dalam satu kejadian di Teluk Guinea, Nigeria itu terus menitiskan air mata kerana amat terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh keluarga dan saudara-mara terhadap dirinya.

Apatah lagi kehadiran Menteri Muda Pemodenan Pertanian merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Mong Dagang, orang yang bertanggungjawab membebaskan dirinya daripada diculik selama 19 hari oleh lanun, turut menyanyikan lagu hari jadi buat dirinya.

Malam Sabtu lalu keluarga George telah mengadakan majlis kesyukuran dan hari jadi ke-42 buat dirinya di kediaman adik iparnya, Jersey Suntek, Pakit B, Sri Aman.

Mong ketika berucap pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat Datuk Mohd Khairun, Duta Malaysia di Afrika dan Sea Trucks Group yang berusaha gigih membebaskan George.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada individu dan pihak yang terbabit dengan saya membebaskan George sehingga dia balik ke pangkuan keluarga kesayangannya dengan selamat,” katanya.

Dalam kejadian itu pengawal kapal mereka sempat berbalas tembakan dengan kumpulan lanun tersebut sebelum ditewaskan dan kapal mereka kemudiannya ditawan.

George serta tiga lagi rakan setugasnya, masing-masing dari Thailand, Indonesia dan Iran yang turut berada di atas kapal berkenaan ditahan dan dibawa ke sebuah hutan di pinggir pantai untuk dijadikan tebusan.

Selain itu Mong turut menasihati anak-anak gadis Sarawak yang masih menuntut mahupun bertugas di bandar agar jangan mudah terpengaruh dengan janji manis orang asing yang berada di negara ini.

“Di sini saya menasihati anda semua agar jangan termakan kata-kata manis orang asing untuk mengelak daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan anda sebagai keldai dadah,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan