Ramun dibantu rakannya mendaki tebing selepas terjun dari treler yang terbabas
SEREMBAN – Seorang lelaki melalui detik mencemaskan apabila terpaksa melompat keluar dari treler membawa muatan bongkah batu yang sedang dipandunya sebelum kenderaan berat itu terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Pantai-Jelebu berhampiran Bukit Tangga di sini kelmarin.
Kejadian mendebarkan itu berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Ramun Redzuan Mohd. Hakim, 41, yang sedang memandu treler itu bersendirian gagal mengawal kenderaan berat tersebut.
Ramun Redzuan memberitahu, kejadian berlaku ketika dia yang dalam perjalanan dari Titi, Jelebu di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sedang menuruni Bukit Tangga.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Kelisa di hadapannya yang memperlahankan kenderaan selepas memotongnya.
Kereta Perodua Kelisa yang rosak akibat dirempuh treler
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak antara lori dan kereta itu terlalu hampir selain bimbang jika bebanan yang saya bawa akan mengakibatkan kejadian lebih buruk.
“Dalam keadaan cemas itu, saya terus memaut stereng hingga masuk ke laluan bertentangan sebelum saya melompat keluar apabila mendapati treler menghala ke arah gaung sedalam lebih 10 meter,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, dia bersyukur terselamat dalam kejadian itu walaupun mengalami cedera ringan di tangan dan kaki kanan ketika terjun dari trelernya.
Sementara itu, pemandu kereta, Nor Asmah Othman, 35, memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu ke rumahnya di Senawang.
“Selepas memotong treler itu, saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana terdapat banyak kereta di hadapan saya sebelum dilanggar kenderaan berat tersebut yang meluru laju,” katanya yang cedera di dahi selepas terhantuk pada stereng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan