Isnin, 17 September 2012

Pemuda UMNO Turut Bantah Filem Hina Islam


BUKIT MERTAJAM - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaludin berkata pergerakan itu yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan filem anti-Islam ”Innocence Of Muslims”, bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat depan.

Beliau berkata perbuatan tidak bertanggungjawab yang telah menghina Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditentang demi mempertahankan maruah agama Islam sejagat.

Pemuda UMNO akan mengadakan bantahan secara besar-besaran pada Jumaat ini bagi menzahirkan rasa kesal terhadap penerbitan filem anti-Islam itu, katanya dan menurutnya lokasi dan cara bantahan itu sedang dibincangkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

"Bantahan ini dibuat tanpa mengira fahaman politik dan diharap ia akan menjadi platform kepada umat Islam menyuarakan kepada dunia bahawa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w tidak boleh dipandang remeh.

"Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda juga mengalu-alukan Dewan Pemuda Pas untuk turut serta mengadakan bantahan, ini adalah masalah sejagat yang perlu ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di Dewan Mutiara, Politeknik Permatang Pauh. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan