Rabu, 12 September 2012

Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan

Keadaan motosikal  yang terlibat kemalangan di Jalan Matang kelmarin

KUCHING: Seorang penunggang motosikal menemui ajal setelah mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Batu 8, Jalan Matang, malam kelmarin.

Insiden sekitar jam 8.15 malam itu berlaku ketika pasangan suami isteri dalam Perodua Kancil itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9, Jalan Matang dan melanggar motosikal yang berkemungkinan datang dari arah bertentangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, kemalangan itu berlaku ketika sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 67 tahun yang datang dari arah Telaga Air menuju ke pusat bandar telah merempuh kereta pikap yang keluar dari simpang.

Pada masa sama katanya, lelaki berusia 27 tahun itu yang mengekori motosikal warga emas itu cuba mengelak namun bertembung dengan Perodua Kancil berkenaan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Lidam Ebek berasal dari Rumah Duga, Awik disahkan meninggal dunia sekitar jam 9.04 malam manakala warga emas tersebut patah di kaki kiri dan sedang dirawat.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan