Sabtu, 22 September 2012

Rakyat Bersatu Protes Filem Dan Karikatur Hina Nabi

Orang ramai yang berarak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak semalam

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik semalam menunjukkan solidariti bagi mengecam penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ dan karikatur yang mempersenda dan memfitnah Nabi Muhammad SAW, dengan mengadakan protes besar-besaran di ibu negara.

Pergerakan Pemuda UMNO, pergerakan Pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini sejurus selepas solat Jumaat, bagi mengecam penerbitan filem itu.

Ia dimulakan dengan ucapan oleh wakil NGO, yang kesemuanya mengutuk keras penyiaran filem anti-Islam arahan pengarah dari California Sam Bacile dan karikatur yang diterbitkan di dalam majalah Perancis, Charlie Hebdo.

Kira-kira pada waktu yang sama, Dewan Pemuda PAS pula berhimpun bagi mengecam penerbitan filem anti-Islam itu di Masjid Tabung Haji sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat, juga berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Selain Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, antara pemimpin NGO lain yang mengambil bahagian dalam perhimpunan hampir sejam di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru itu ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Zahid Md Arip, Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Ribuan rakyat berhimpun di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid Tabung Haji.

Dalam ucapannya, Khairy mengingatkan masyarakat dunia bahawa Malaysia sama sekali tidak akan menerima dan akan menentang keras segala usaha bagi memburuk-burukkan Islam serta menghina Rasulullah.

Beliau berkata solidariti masyarakat di negara ini diperlihat melalui kata sepakat yang dicapai antara dua parti politik orang Melayu iaitu UMNO dan PAS yang rela bersatu dan menolak ideologi politik untuk sama-sama turun membantah tindakan yang tidak mengira sensitiviti agama itu.

“Pemuda UMNO dan PAS hari ini (semalam) bersama beberapa NGO bersolidariti bagi menunjukkan perpaduan seluruh rakyat bahawa Malaysia menentang sebarang usaha yang menjurus kepada penghinaan terhadap agama Islam dan juga Nabi Muhammad SAW.

“Malah, kami juga telah bersetuju bahawa perhimpunan ini termasuk yang sedang berlangsung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat merupakan manifestasi kecaman umat Islam terhadap penghinaan agama Islam dan tidak mahu ia lari dari maksud yang diperjuangkan bersama,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan orang yang mengambil bahagian.

Khairy juga mahu kerajaan Amerika Syarikat dan Perancis mengambil tindakan segera terhadap penerbit filem dan karikatur berkenaan demi membuktikan rasa hormat mereka kepada penganut agama lain.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, kita harus anggap itu sebagai penghinaan langsung terhadap Islam,” katanya.

Perhimpunan yang turut disertai Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan beberapa wakil parti-parti komponen Barisan Nasional itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Dr Hasan serta selawat beramai-ramai.

Sementara itu, ribuan lagi berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat tidak jauh dari situ selepas solat Jumaat diketuai oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dengan diikuti oleh beberapa pemimpin pakatan pembangkang serta wakil-wakil NGO.

Turut hadir Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Anggota Parlimen Batu Tian Chua, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Namun, Salahuddin ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kecewa kerana hasrat untuk menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Duta Besar Amerika ke Malaysia, Paul W. Jones tidak dapat dilakukan kerana pihak kedutaan hanya menghantar ketua keselamatannya untuk menerima memorandum berkenaan.

“Walaupun kita tahu Amerika kononnya sebuah negara demokrasi yang bebas membenarkan kita bersuara, tetapi pada hari ini (semalam) kita hanya diterima oleh ketua keselamatannya di pintu masuk dan tidak berjaya ke dalam bangunan kedutaan,” katanya.

“Bagaimanapun, kami mengharapkan memorandum yang dihantar itu akan sampai kepada pihak berkenaan dan desakan kami supaya mengambil tindakan tegas kepada pengarah dan penerbit filem itu dapat diambil,” katanya.

Salahuddin berharap perbuatan mempersenda umat Islam merupakan kali yang terakhir bagi umat Islam di seluruh dunia.

“Jangan persenda umat Islam, jangan persenda Nabi Muhammad SAW kerana perbuatan itu akan mewujudkan satu provokasi yang akan mencetuskan kekeruhan dan kacau-bilau di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah mengharapkan melalui protes besar-besaran ini, ia dapat mempertahan hak umat Islam untuk terus dihormati, sama juga seperti mana agama lain yang mahukan penghormatan sebaik mungkin.

“Hari ini (semalam) adalah bukti bahawa kita datang dengan baik untuk menyatakan kecaman kita terhadap apa yang dilakukan oleh penerbit filem tersebut. Kerajaan Amerika Syarikat perlu jelas untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana kita tidak mahu isu ini melarat dan membawa kepada kancah seterusnya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh ketika ditemui selepas itu berkata perhimpunan berjalan dalam keadaan terkawal dengan peserta mengikut arahan yang dikeluarkan polis.

“Mereka mengikut arahan yang diberikan seperti hanya menggunakan satu jalan sahaja (jalan menghala ke Cheras), malah peserta juga bersurai dengan aman selepas memberikan beberapa ucapan kira-kira jam 3.20 petang,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Berhubung kesesakan yang berlaku di Jalan Tun Razak, beliau berkata keadaan tersebut berlaku disebabkan penutupan jalan berkenaan bermula jam 1.45 petang, namun penempatan anggota polis yang mencukupi memastikan trafik terkawal sepanjang perhimpunan.

Ditanya mengenai terdapat segelintir peserta yang membakar bendera dipercayai bendera Amerika Syarikat, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu. — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan