Penduduk mengadakan demonstrasi secara aman menuntut janji air percuma
KAJANG – Lebih 200 penduduk Pangsapuri Angsana di sini semalam mengadakan demonstrasi secara aman bagi melahirkan kekecewaan terhadap sikap berdolak-dalik kerajaan negeri mengenai janji pemberian air percuma kepada rakyat.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Penghuni Pangsapuri Angsana, Azizah Azman, 35, berkata, kegagalan kerajaan negeri menepati janji yang dibuat pada pilihan raya umum 2008 menunjukkan imej lidah bercabang mereka.
“Kerajaan negeri menafikan hak penduduk dengan memberi alasan pemberian air percuma tidak dapat dilaksanakan kerana kediaman kami menggunakan meter pukal.
“Akibatnya, penduduk telah mengalami kerugian sebanyak RM570 bagi seunit rumah sejak ia dijanjikan pada Ogos 2008 sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada demonstrasi aman itu di sini semalam.
Kerajaan Selangor pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu berjanji, semua penduduk di negeri itu berhak mendapat air percuma sebanyak 20 meter padu yang bernilai RM11.40 pada setiap bulan.
Seorang penduduk, Tang Lee Chian, 47, berkata, sejak beliau menetap di situ dari tahun 2008 hingga kini belum pernah menerima 20 meter padu air percuma setiap bulan seperti yang dijanjikan kerajaan negeri.
“Orang yang tinggal di rumah banglo dapat air percuma tapi kami yang berpendapatan rendah dan tinggal di pangsapuri tidak dapat air percuma.
“Kami mahu kerajaan Selangor tunaikan janji yang mereka semasa pilihan raya duhulu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya yang prihatin dengan kemelut subsidi air yang dihadapi rakyat negeri itu menawarkan bantuan menanggung kos yuran guaman untuk menuntut hak semua penduduk.
“Tindakan itu diambil untuk membela penduduk yang tertipu dengan janji manis kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan