Rabu, 5 September 2012

Suami Isteri Syaki Anak Terjatuh Di taska, Buat Laporan Polis

KUCHING: Sepasang suami isteri terpaksa membuat laporan polis terhadap sebuah taska selepas mengesyaki anaknya terjatuh sehingga menyebabkan pendarahan dalaman pada otaknya semasa dalam jagaan taska tersebut.

Ibu mangsa yang berusia 30-an, yang enggan dikenali berkata insiden tersebut berlaku di sebuah taska yang terletak di Stutong, di sini selepas mereka menghantar anaknya yang baharu berusia lima bulan untuk dijaga.

Bagaimanapun menurut beliau, pada 2 Ogos lepas, dia telah menerima panggilan telefon daripada taska tersebut dan telah dimaklumkan bahawa anaknya tidak sihat dan perlu dibawa mendapatkan rawatan segera.

“Badan anak kami menggigil dan dia juga sering muntah- muntah menyebabkan kami terpaksa menghantar dia ke klinik untuk diperiksa namun selepas diperiksa, kami diberitahu bahawa anak kami tidak demam mahupun keracunan makanan,”katanya.

Selepas beberapa hari, keadaan anak mereka dilihat tidak berubah menyebabkan mereka menghantar semula anak mereka ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

“Pelbagai ujian telah dijalankan dan saya telah diberitahu bahawa anak saya mengalami kecederaan pada bahagian kepalanya disyaki akibat terjatuh dari ketinggian sekurang-kurangnya tiga kaki,”katanya.

Menurutnya, perkara tersebut telah mengejutkan mereka sekeluarga kerana sepanjang anaknya di bawah jagaan mereka, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dan mereka mengesyaki ia berlaku semasa anaknya di bawah jagaan taska tersebut.

Justeru, mereka telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu agar siasatan lebih lanjut dapat dijalankan. Siasatan polis masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan