Isnin, 17 September 2012

Tindakan Sekat Filem Hina Islam Disokong


KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdul­lah Ahmad Badawi menyam­but baik tindakan kerajaan menyekat penyiaran filem Innocence of Muslims kerana ia boleh menimbulkan kemara­han umat Islam di negara ini.

Beliau berkata rakyat Ma­laysia terutama yang be­ragama Islam tidak boleh menerima penyiaran filem itu kerana ia menghina Nabi Muhammad SAW.

“Kerajaan mengambil tin­dakan tepat menyekat filem berkenaan kerana saya per­caya jika ia (filem itu) disiarkan akan menimbulkan kemara­han dan kekecohan.

“Rakyat Malaysia yang berbilang kaum sangat sensitif jika timbul isu yang meng­hina sesuatu agama dan saya percaya mereka akan bangkit bersatu menentang jika filem itu tidak disekat,” katanya se­masa merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di semalam.

Menteri Penerangan Komu­nikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dalam laporan akhbar semalam, berkata ne­gara Islam lain seperti Indone­sia dan Barat telah melakukan tindakan menyekat penyiaran filem itu dan Malaysia akan mengikut jejak yang sama.

Rais berkata beliau te­lah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan filem itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.

Abdullah yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Kepala Batas, turut mengutuk tindakan pihak yang mengeluarkan filem itu kerana ia jelas boleh menim­bulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata pembuat filem itu juga adalah individu yang tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan sentimen negatif kepada umat Islam dan penganut agama lain.

“Disebabkan sebuah filem dihasilkan seorang yang dangkal, saya lihat api kemarahan sudah mula merebak dari sebuah negara ke negara lain dan perkara ini boleh menimbulkan suasana tegang.

“Orang Islam mula rasa resah, gelisah dan marah dengan filem berkenaan dan saya berharap kita semua menggunakan akal fikiran waras dan jangan bertindak melulu bagi mengelak perkara buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Abdullah menasihati anggota UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain agar terus bekerjasama supaya parti itu dapat mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan