Sabtu, 22 September 2012

Tukang Cat Diberkas Dipercayai Edar Dadah


KUANTAN: Seorang tukang cat yang dipercayai terbabit mengedar dadah diberkas ketika sedang menunggu pelanggan di dalam kereta berhampiran kawasan Perumahan Air Putih di sini.

Suspek yang berusia 38 tahun sebelum ini pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar selama tiga tahun kerana terlibat dalam pengedaran dadah dan kini sedang menjalani tempoh sekatan tahanan di Raub sejak setahun lepas.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Mohd Zati Hamid berkata suspek diberkas kira-kira jam 8.45 malam Selasa lepas hasil maklumat orang awam.

“Semasa membuat tangkapan, suspek cuba bertindak agresif sebelum bergelut dengan anggota polis dalam usaha untuk melarikan diri namun dia berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, sebanyak 999 biji pil Eramin 5 seberat 275 gram yang dianggarkan bernilai RM14,000 ditemui.

“Selain itu, dadah disyaki syabu seberat 102 gram bernilai RM18,000 turut ditemui di dalam satu sampul surat berwarna coklat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, polis juga merampas tiga telefon bimbit dan alat penimbang digital yang dipercayai digunakan untuk menimbang berat dadah sebelum dijual.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 25 Sept ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi tujuan siasatan,” katanya.

Mohd Zati berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis Meth selepas ujian saringan dilakukan dan dia turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan