Rabu, 12 September 2012

Ubat Seks Haram Dirampas

Sebahagian ubat perangsang seks haram dan aksesori seks yang dirampas 

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas pelbagai ubat perangsang seks haram dan aksesori seks bernilai RM6,330 dalam serbuan di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati di sini Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, serbuan melibatkan Pegawai Penguat Kuasa Farmasi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu dibuat selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Menurut beliau, gerai jualan tersebut dimiliki oleh seorang pesara kerajaan berusia 50-an dan rekod menunjukkan dia merupakan merupakan pesalah tegar dan sudah beberapa kali dikenakan tindakan di atas kesalahan yang sama.

"Kami memandang serius hal ini dan bertindak terhadap aduan yang dibuat oleh orang awam kerana ia memberi imej buruk kepada negeri ini dan masyarakat.

"Ubat-ubatan perangsang seks yang dirampas tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ada sebahagiannya merupakan ubat terkawal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Ahmad Razin, tahun ini sahaja sebanyak empat serbuan telah dibuat bagi mencegah penjualan ubat seks haram antaranya di beberapa lokasi berhampiran Pasaraya Chin Seng, Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Tapak Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu dan beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu.

Melalui rampasan itu, sejumlah RM39,455 nilai keseluruhan barangan berjaya dirampas.

Katanya, penjual barangan tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan seseorang yang didakwa boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan ubat-ubatan haram ini boleh mendatangkan kemudaratan terutama yang mengandungi ubat kawalan Sildenafil.

"Pengambilan tanpa kawalan dan nasihat doktor boleh menimbulkan kesan sampingan seperti tekanan darah rendah, sakit otot terutama otot belakang, gangguan pada perut, muntah, gangguan penglihatan, radang pundi kencing dan sesak nafas yang boleh membawa kepada kematian," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan