Ahad, 10 Mac 2013

Operasi Geledah, Bersihkan Kampung Simunul

Anggota keselamatan kelihatan berhati-hati ketika menjalankan operasi 

SEMPORNA - Kira-kira 100 anggota pasukan keselamatan memasuki Kampung Simunul dekat sini semalam untuk menjalankan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari senjata kumpulan pengganas Sulu yang terlibat dalam pertempuran dengan anggota keselamatan negara pada 2 Mac lalu.

Mereka yang terdiri daripada polis komando VAT 69, Unit Tindakan Khas dan Pasukan Gerakan Am mula memasuki kampung tersebut pada pukul 8 pagi semalam untuk melakukan kerja-kerja penggeledahan.

Operasi besar-besaran itu dijalankan selama lima jam tanpa henti sebelum ia berakhir pada pukul 1 tengah hari.

Bagaimanapun dalam operasi tersebut, tiada sebarang senjata milik pengganas yang ditemui. Pemeriksaan tersebut dilakukan di Lorong 3, 4 dan 5 kampung terbabit.

Anggota keselamatan meninjau kawasan Kampung Simunul

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, ia bertujuan untuk meninjau kembali kawasan kejadian dan memeriksa sekiranya terdapat senjata-senjata milik pengganas di kawasan tersebut.

Menurutnya, ia juga bertujuan untuk membuat lakaran semula sebenar tempat kejadian selain untuk mengawasi keadaan keselamatan kawasan perairan di Semporna.

Dalam kejadian pada 2 Mac lalu, enam pegawai dan anggota keselamatan negara terkorban selepas diserang hendap ketika mereka menjalankan operasi memberkas beberapa individu dipercayai pengganas di kampung tersebut.

Mereka ialah Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Michael Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Azis Sarikon, Koperal Salam Togiran dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.

Pertempuran tersebut menyaksikan enam orang pengganas Sulu turut terbunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan