Khamis, 14 Mac 2013

PDRM Wujud Lima Balai Polis Baru


KOTA KINABALU: Polis diraja Malaysia (PDRM) telah memutuskan untuk mewujudkan lima balai polis baru dengan kadar segara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata balai-balai berkenaan akan diwujudkan di Pulau Gaya (Kota Kinabalu), Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul (Semporna) serta Tanjung Labian dan Felda Sahabat (Lahad Datu).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Kumpulan Kerja bagi memperhalusi struktur dan modul operasi kawasan keselamatan khas Esscom di sini kelmarin.

“Bagi pihak PDRM, kami telah membuat perancangan spesifik untuk mempertingkatkan kehadiran polis di Zon Timur Sabah sejajar dengan penubuhan Esscom.

“PDRM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah-langkah perlu agar balai polis baru di lokasi yang dikenal pasti dengan bantuan kerajaan negeri ini dapat beroperasi menjelang 2 April 2013,” katanya.

Selain itu katanya, PDRM juga akan melihat keperluan untuk menaik taraf balai-balai polis sedia ada.

Khalid berkata, memandangkan pembinaan bangunan kekal untuk menempatkan balai polis akan mengambil masa, pihak Kementerian Dalam Negeri telah membuat keputusan agar balai-balai polis baru ini akan beroperasi dari kabin-kabin sementara.

Sementara itu, pihak polis menyambut baik hasrat kerajaan memperkenalkan Pemerintahan Keselamatan Timur Sabah atau Esscom yang dilihat akan memberi manfaat berpanjangan dalam meningkatkan tahap keselamatan di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata Esscom yang dahulunya dikenali sebagai Kawasan Keselamatan Khas (KKK) itu mampu memberi impak positif terhadap usaha pihak berkuasa menangani aktiviti jenayah selain memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa.

“Pengwujudan Esscom ini sekaligus turut membuktikan bahawa kerajaan mengambil serius tentang isu keselamatan negeri Sabah setelah mengambil iktibar mengenai kejadian pencerobohan pengganas di Pantai Timur.

“Malah dengan adanya langkah terbabit, dijangka memberi manfaat jangka masa panjang dalam usaha kita membanteras aktiviti jenayah seperti penyeludupan, dadah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) petang kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Agung PBS, Datuk Henrynus Amin, Exco Pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim dan Naib Presiden PBS, Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Ekoran peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelaksanaan Esscom di lima daerah Pantai Timur termasuklah satu di daerah Kudat.

Usaha terbabit dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan perairan dipertingkatkan dengan menempatkan pasukan-pasukan keselamatan negara di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Henrynus turut menyuarakan pendapat yang sama dalam menyokong usaha kerajaan mewujudkan Esscom untuk menangani ancaman terhadap keselamatan negara.

“PBS menyokong penuh pengumuman dan pelaksanaan Esscom ini bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran berterusan di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Kita turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri untuk menyediakan tanah yang diperlukan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan zon keselamatan khas di lokasi-lokasi terlibat nanti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan