Selasa, 4 September 2012

Angkara Pemandu Lori Pitam

Anggota JPAM memapah Mat Rashid yang masih lemah akibat pitam 

Mohamad Har menunjukkan keretanya yang rosak teruk selepas dirempuh lori

MELAKA - Puncanya dikatakan pemandu lori yang tiba-tiba pitam menyebabkan sebuah keluarga terpaksa berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki dilanggar kenderaan terbabit ketika menunggu giliran untuk mengambil tiket di Plaza Tol Ayer Keroh.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika pemandu kereta, Mohamad Har Md. Ali, 53, dari Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh dalam perjalanan untuk menghantar seorang anak perempuannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Serdang, Selangor.

Ekoran rempuhan itu, kereta yang dinaiki lima beranak tersebut terinjak ke depan sebelum melanggar pula sebuah lori lain yang juga sedang berbaris untuk mengambil tiket di plaza tol berkenaan.

Mohamad Har mendakwa, dia kerugian ratusan ringgit apabila kereta miliknya itu rosak teruk di bahagian belakang dan depan.

Mengimbau semula kejadian itu, pekerja swasta itu mendakwa, sebelum kejadian, dia beratur di belakang sebuah lori satu tan itu untuk mengambil tiket.

Katanya, tanpa disangka, dia dan anak-beranak terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah lori telah melanggar belakang keretanya melalui cermin.

"Kami bertambah panik apabila kereta kami terinjak ke depan dan melanggar pula lori di depan saya ekoran rempuhan tersebut. Dua kenderaan berat itu hanya mengalami kerosakan kecil.

"Saya difahamkan, pemandu lori yang merempuh saya gagal mengawal lori kerana dia tiba-tiba pitam," ceritanya yang mempunyai pengalaman memandu selama 30 tahun ketika ditemui semalam.

Tambahnya, selain dia, isterinya, Hamlah Haron, 49, dan tiga anak berusia sembilan, 11 dan 19 tahun yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan