Sabtu, 8 September 2012

Budak Mati 'Dikerjakan' Ayah Mi

Rumah tempat Noor Sofia mati akibat didera 

MELAKA – Seorang buruh bergelar ‘Ayah Mi’ yang merupakan kekasih ibu angkat seorang kanak-kanak perempuan bertindak kejam mendera mangsa hingga mati hanya kerana mendakwa budak itu tidak mahu belajar dalam kejadian di Taman Seri Telok Emas, Telok Mas di sini Ahad lalu.

Kejadian pukul 7.55 pagi itu mengakibatkan Noor Sofia Syaqira Abdullah, 6, meninggal dunia selepas beberapa organ dalaman seperti usus dan paru-parunya gagal berfungsi. Seluruh badannya juga dipenuhi kesan lebam.

Ibu angkatnya yang berusia 35 tahun kini ditahan polis manakala kekasihnya yang dikenali sebagai Amiezul Al-Ikram Mohamed, 32, berasal dari Gombak, Selangor menghilangkan diri selepas kejadian. Buruh itu kini dicari polis. Wanita itu merupakan ibu saudara kanak-kanak yang mati.

Difahamkan, pasangan itu baru berpindah ke sini dari Gombak, Selangor. Mereka berbuat demikian kerana Amiezul yang mempunyai 12 rekod jenayah berkaitan dadah dan samun selain dikehendaki bagi empat kes jenayah lain ingin mengelakkan diri daripada ditahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Suprintendan R. Gunarajan berkata, kes dera itu terbongkar apabila bapa Amiezul yang tiba dari Gombak membawa mangsa ke Hospital Melaka sebaik dihubungi wanita berkenaan. Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Penderaan teruk itu berlaku malam Sabtu lalu apabila suspek naik angin selepas mendakwa Sofia tidak mahu belajar. Ketika tidur, ibu angkat kanak-kanak itu mendapati mangsa berada dalam kesakitan selain nafasnya tidak teratur dan lemah pada pukul 2 pagi.

“Dua jam kemudian, dia mendapati kanak-kanak itu tidak bernafas sebelum menghubungi bapa kekasihnya. Sebaik tiba, lelaki itu terus membawa mangsa ke hospital sebelum doktor mengesahkan Sofia telah meninggal dunia,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan