Sabtu, 8 September 2012

Wanita Nigeria Seludup Dadah

Sebahagian syabu yang dirampas daripada empat wanita Nigeria

SEPANG – Sindiket dadah yang didalangi warga Nigeria semakin terdesak untuk menyeludup bahan terlarang itu ke negara ini apabila menggunakan wanita senegara pula untuk melakukan kegiatan haram tersebut.

Terbaru, empat wanita Nigeria berusia lingkungan 20 dan 30-an tersebut ditahan bersama 11.31 kilogram (kg) syabu bernilai RM2.82 juta sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 21 Julai hingga 2 September lalu.

Kesemua dadah itu ditemui disorokkan di dalam ruang khas bagasi masing-masing oleh pihak kastam ketika melalui mesin pengimbas di KLIA. Dadah itu dibalut dengan kertas minyak.

Pengarah Kastam KLIA, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, pihaknya sentiasa mengetatkan kawalan di pintu masuk negara itu selepas menyedari sindiket sentiasa mengubah taktik untuk menyeludup dadah.

“Tangkapan terbaharu melibatkan seorang wanita berusia 28 tahun pada pukul 8.20 malam 2 September lalu bersama 2.9 kg syabu bernilai RM725,000. Dia telah datang ke negara ini sebanyak tiga kali.

“Semakan mendapati, dia menaiki penerbangan dari Mesir dan singgah di Bangkok sebelum tiba di Malaysia,” katanya sambil memberitahu, pihaknya telah merampas sebanyak 154.6 kg syabu bernilai RM26.63 juta sejak awal tahun ini hingga kelmarin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan