Jumaat, 21 September 2012

Demonstrasi Kecam Penghinaan

Khairy Jamaluddin pada sidang akhbar semalam

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO akan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penyiaran filem Innocence of Muslims dan kartun terbitan majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Nabi Muhammad SAW di Masjid Kampung Baru di sini hari ini.

Menurut Ketuanya, Khairy Jamaluddin, demonstrasi yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu bertujuan mengecam penghinaan yang dilakukan terhadap Islam.

"Kami ingin melahirkan pandangan bahawa kebebasan bersuara perlu ada had, tanggungjawab dan penghormatan terhadap agama, kaum serta sensitiviti manusia," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perhimpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat dan disertai kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional, Gerakan Belia 4B, Pertubuhan Pribumi Perkasa, Pertubuhan Silat Lincah Malaysia, Pertubuhan Silat Kebangsaan Malaysia dan Persatuan India Muslim.

Khairy menjelaskan, bagaimanapun hasrat untuk bergabung dengan Dewan Pemuda Pas bagi mengadakan bantahan tersebut tidak dapat dilakukan atas faktor keselamatan.

"Saya dan Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda Pas) sudah berbincang secara mendalam mengenai perkara itu, malah saya juga maklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, namun beliau meminta agar peserta diasingkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Walaupun saya dan Nasrudin boleh beri jaminan perhimpunan akan berlangsung dengan aman tetapi terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku," ujar beliau.

Katanya, Dewan Pemuda Pas akan menganjurkan protes di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan