Jumaat, 21 September 2012

Wanita Warga Emas Cedera Dirompak Dalam Semak


PENAMPANG: Seorang warga emas cedera setelah dipukul dan dirompak oleh dua lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian berhampiran Golf Garden, di sini awal pagi kelmarin.

Difahamkan dalam insiden kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa seorang wanita tempatan berusia 58 tahun sedang dalam perjalanan ke Beverly Hills sebelum kenderaannya ditahan oleh sebuah lori yang dinaiki oleh dua lelaki di lokasi kejadian.

Wanita itu kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan salah seorang daripada suspek turun, lalu mengetuk cermin kereta mangsa.

Ketika mangsa menurunkan cermin kereta, suspek dikatakan terus menyarung dan menekup muka wanita terbabit menggunakan sehelai kain.

Mangsa dan kenderaannya kemudian dibawa ke dalam semak berhampiran dengan menggunakan lori yang dinaiki lelaki terbabit, sebelum dipukul beberapa kali.

Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri bersama-sama beg tangan milik mangsa dan meninggalkan mangsa keseorangan di dalam semak berkenaan.

Selepas itu, warga emas berkenaan meminta bantuan daripada beberapa penduduk kampung berhampiran sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk membuat laporan.

Antara barangan mangsa yang dilarikan suspek ialah wang tunai RM1,400, telefon bimbit dan kad ATM. Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit. Menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes itu mengikut Seskyen 394 Kanun Keseksaan.

“Polis turut meminta kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke mana-mana balai yang terdekat untuk menghulurkan maklumat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan