Khamis, 13 September 2012

Hospital Sibu Cari Waris Mayat

Mayat lelaki bertatu ‘Cobra’ di lengan kanan yang belum dituntut 

SIBU: Mayat seorang lelaki yang dijumpai terapung berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Lanang pada 14 Ogos lalu masih belum dituntut warisnya.

Mayat yang digelar Mr X tersebut telah berada di Rumah Mayat Hospital Sibu sejak penemuan jam 4.30 petang itu.

Pihak Hospital Sibu mengalami kesukaran menjejaki ahli keluarga Mr X kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayatnya.

Antara tanda yang terdapat pada mayat tersebut ialah tatu ‘Cobra’ di bahagian dada manakala lengan kanannya terukir wajah seorang wanita.

Menurut laporan, mayat lelaki tersebut dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 30-an, berketurunan Bumiputera dan berketinggian 5 kaki 3 inci.

Selain itu, mayat Mr X yang berbadan sederhana itu lengkap berbaju-T berwarna putih dan berseluar jeans pendek dan bertali pinggang. Lebih menyukarkan keadaan, pihak polis dari Balai Polis Lanang belum menerima laporan kes orang hilang.

Sehubungan itu, mereka yang ada kehilangan saudara mara diminta menghubungi Inspektor Wong atau Sarjan Stephen Malang menerusi talian 084-211221.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan