Khamis, 13 September 2012

Bergaduh Dengan Isteri, Lelaki Nyaris Bakar Diri


KUCHING: Gara-gara terlalu mengikut perasaan, seorang lelaki nyaris membakar dirinya dipercayai akibat tertekan selepas bergaduh dengan isterinya malam kelmarin.

Mangsa, 24, dari Kampung Landeh, di sini dipercayai nekad bertindak sedemikian selepas isterinya enggan pulang ke rumah mereka, malah membawa lari dua anak mereka pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Sikog, di sini.

Disebabkan itu, mangsa yang telah dituduh mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain kemudian dikatakan mencurahkan beberapa liter minyak petrol di dalam biliknya sebelum perkara tersebut disedari ahli keluarga lain sekitar jam 8 malam kelmarin.

“Saya bersama beberapa ahli keluarga lain telah menyerbu masuk ke dalam bilik tidurnya lalu menariknya keluar dari dalam bilik tersebut yang telah disimbah dengan minyak petrol… mujur dia tidak sempat menghidupkan api,” kata bapa mangsa yang enggan dikenali.

Melihat keadaan mangsa yang masih tertekan dengan perkara tersebut, bapa mangsa kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis kerana risau akan terjadi perkara yang lebih buruk lagi.

“Kami tidak mampu lagi menghalangnya, dia terlalu tertekan dengan perkara itu, disebabkan itu diharapkan pihak polis sekurang-kurangnya dapat memberikan kesedaran kepadanya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan