KUALA LUMPUR - Seramai 70 rakyat asing yang bekerja di premis perniagaan pusat urut dan refleksologi (SPA) di sekitar Jalan Kuchai Lama, di sini ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi Jabatan Imigresen semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata rakyat asing yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu terdiri daripada 31 rakyat China, Vietnam (20) Thailand (sembilan), Indonesia (lima), Filipina (dua), Myanmar (dua) dam Kemboja (satu).
"Antara kesalahan yang dikesan ialah pas pekerjaan tidak sah, tiada dokumen perjalanan yang sah dan berniaga menggunakan lesen perniagaan milik orang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata sebanyak 40 premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu oleh jabatan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis yang dijalankan berikutan aduan orang ramai.
DBKL mengeluarkan enam kompaun mengikut undang-undang Establishment Kecantikan dan Kesihatan kerana premis berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah dan enam kompaun lagi dikeluarkan di bawah undang-undang iklan kerana mempamer iklan tanpa lesen, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan