Najib bersalam dengan ahli-ahli UMNO
JOHOR BAHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa masa depan negara adalah terlalu besar nilainya untuk diperjudikan dan adalah sesuatu yang disifatkan sebagai 'pantang' untuk menyerahkan negara ini kepada pembangkang.
Berucap kepada perwakilan UMNO Johor, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mahu setiap ahli UMNO menggembleng tenaga dan kekuatan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Kita tidak boleh menggadai masa depan, masa depan kita terlalu besar nilainya.
"Di sinilah lahirnya UMNO, banyaknya jasa kepada negara. Pantang kita serah negara ini kepada mereka (pembangkang).
"Allah mencintai kita jikalau kita satu kesatuan dan InsyaAllah Allah akan memberikan kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan berkelompok empat bahagian UMNO Negeri Johor di Persada Johor yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Bahagian-bahagian yang mengadakan persidangan hari ini ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Tanjong Piai.
Menyifatkan pembangkang sebagai 'kosong kredibiliti', Perdana Menteri berkata, mereka tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan negara ini tetapi hanya tahu mengutuk, menghasut dan menjanjikan perkara 'karut-marut' yang tidak masuk akal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan