Sabtu, 22 September 2012

Kawalan Perairan Diperketatkan

Bombardier CL415 MP yang mampu beroperasi di udara dan air

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan membuka Stesen Udara di sini sebagai langkah untuk memperketatkan pengawasan di sepanjang perairan negara.

Pengarah Cawangan Operasi (Udara) APMM Laksamana Pertama Maritim Datuk Zammani Mod Amin berkata, usaha tersebut perlu untuk menangani ancaman di laut terutamanya dalam menjaga keselamatan pelantar minyak dan gas asli di perairan Sarawak.

“Buat masa ini, kita merancang untuk menempatkan sekurang-kurangnya dua helikopter kita, sama ada Agusta Westland AW139 atau Dolphin yang mana dilihat perlu disebabkan kebanyakan ancaman di laut memerlukan unit udara, terutamanya untuk keselamatan pelantar minyak dan gas asli kita.

“Kita difahamkan, setakat ini sebanyak 140 pelantar minyak dan gas asli milik Petronas dan Shell beroperasi di sepanjang perairan negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti penerbangan pertama pesawat Bombardier CL415 MP yang mendarat di Jeti APMM, Muara Tebas di sini semalam.

Zammani berkata, sementara menunggu permohonan pembukaan Stesen Udara APMM Kuching, pihaknya akan menempatkan kedua-dua helikopter tersebut di Kompleks APMM di Muara Tebas.

“Kita telah mengemukakan permohonan untuk membuka Stesen Udara APMM di sini. Selain itu, kita akan bekerja-sama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis marin dan sebagainya.

“Oleh itu, buat masa ini kita akan menempatkan pesawat kita di sini (Kompleks APMM Kuching) sementara menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan,” jelasnya.

Zammani turut memberitahu, pihaknya juga bercadang untuk membuka sekurang-kurang empat buah lagi Stesen Udara iaitu di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu (Sabah), Sandakan (Sabah), dan Kerteh (Terengganu).

“Setakat ini, APMM hanya ada pangkalan udara di Subang sahaja dan disebabkan itu, kita bercadang untuk membuka lima lagi iaitu di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sandakan dan Kerteh, selain di Kuching.

“Stesen Udara ini dilihat perlu memandangkan kawasan kita luas dan ia perlu sentiasa dijaga dan dipantau sepanjang masa,” katanya.

Bercakap mengenai pesawat Bombardier CL415 MP, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM Samsuri Mohd Amin berkata, pesawat tersebut berupaya membantu dalam memadam kebakaran.

“Bombadier ini boleh melakukan banyak perkara seperti membantu dalam memadam kebakaran dengan keupayaan melawan kebakaran dengan kelajuan 150 batu nautika sejam (278 km/j),” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan