Sabtu, 22 September 2012

Pengaruh Dan Sensasi Ariel Peterpan

Bersama anggota asal Peterpan yang kini mahu dikenali sebagai Noah

Ariel Peterpan atau Nazriel Irham bukan lelaki yang luar biasa. Namun sebaik dia memasuki bidang seni Indonesia, Ariel pantas memukau khalayak dengan ketampanan, bakat dan kreativiti yang ditumpahkan dalam karya-karya bagi Peterpan.

Apa sahaja yang dilakukan Ariel menjadi tumpuan media, sama ada ia kisah peribadi atau kerjaya. Perjalanan seni Ariel bersama Peterpan yang sedang berada di puncak, merudum apabila dia dikaitkan dengan skandal video seks bersama kekasihnya, Luna Maya dan hos cantik, Cut Tari pada tahun 2010.

Dua tahun Ariel menjadi buruan paling hangat media Indonesia, walaupun lebih setahun kehidupannya terpaksa dihabiskan di dalam penjara Kebon Waru, Bandung selepas didapati bersalah sebagai pelaku dan mengedar video lucah.

Pada bulan Ramadan lalu, lelaki berusia 31 tahun itu sudah bebas dengan tidak lagi memegang status sebagai banduan.

Ariel kini kembali sebagai seorang penghibur, bersama anggota asal Peterpan iaitu Uki, Lukman, Reza dan David. Hanya selepas dibebaskan, Ariel memilih untuk menukar nama asal Peterpan kepada Noah.

Ternyata, penukaran nama Peterpan kepada Noah selain kisah panas peribadi Ariel tidak membuat surut peminat mereka.

Buktinya, kehadiran band berkenaan ke Malaysia pada 16 September lalu begitu dinanti-nantikan peminat, terutamanya Ariel yang membuat kemunculan sulung selepas dibebaskan daripada penjara pada Julai lalu.

Biarpun sekadar hadir selama 30 minit untuk menghiburkan peminat mereka di negara ini, ternyata Noah tetap tampil dengan satu persembahan yang begitu mantap dan memukau 500 peminat yang hadir.

"Sebenarnya kami cuba hadir ke Malaysia dengan secepat mungkin untuk menghiburkan peminat di sini. Namun, kami terpaksa bergegas pergi dan berharap semua berpuas hati dengan persembahan kami.

"Selepas ini pastinya kami akan datang lagi ke negara ini apabila Noah tampil dengan lebih banyak lagi lagu pada masa akan datang," jelasnya kepada peminat ketika menjayakan Konsert Tentang Bahtera di pusat hiburan KL Live, Kuala Lumpur itu.

Pembabitan Noah dalam konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah mereka dengan mengadakan persembahan di lima buah negara dalam tempoh 24 jam sebagai satu kelainan yang cuba ditampilkan mereka.

Jelajah mereka bermula dengan persembahan yang berlangsung di Australia dan Hong Kong, manakala Malaysia pula menjadi destinasi yang ketiga dan selepas itu mereka terbang menggunakan pesawat peribadi ke Singapura dan akhir sekali persembahan penutup yang berlangsung di Jakarta.

Ketika konsert yang berlangsung di KL Live, Noah memulakan persembahan menerusi lagu Walau Habis Terang dan diikuti dengan beberapa lagu lain seperti Menghapus Jejakmu, Mungkin Nanti, Tak Bisakah dan Topeng. Kesemuanya merupakan lagu-lagu yang pernah popular ketika mereka menggunakan nama Peterpan.

"Sudah tentu kamu masih lagi ingat dengan lagu-lagu lama Peterpan. Jadi, mari kita nyanyi bersama-sama kerana tujuan kami semata-mata mahu menghiburkan peminat dan semoga semuanya terhibur," ujarnya yang turut mempersembahkan lagu baharu Noah berjudul Separuh Aku.

Selain menampilkan Noah, konsert berkenaan turut dijayakan lagi dengan persembahan dua buah band tempatan, The Malayan dan 6ixth Sense serta trio dari Indonesia iaitu Gamaliel, Audrey dan Cantika yang menggelarkan diri mereka GAC.

Bagaimanapun, tiada sebarang sesi sidang akhbar yang berlangsung memandangkan kehadiran Ariel bersama bandnya itu sekadar dalam tempoh yang cukup singkat kerana mengejar masa untuk konsert seterusnya di Singapura.

Sementara itu, menurut laporan media Indonesia, Noah kini sedang kembali sukses apabila strategi konsert jelajah lima negara tersebut menjadi fenomena buat mereka.

Noah juga dijadualkan mengadakan persembahan di sembilan buah lokasi di Indonesia seperti Pekanbaru, Solo, Surabaya, Bogor, Yogyakarta, Medan, Palembang, Bandung dan Jakarta yang bermula semalam hingga 15 Oktober ini.

Pada masa yang sama, single pertama mereka, Separuh Aku dan klip videonya juga diterima baik, malah Noah kini sedang giat menyiapkan klip video untuk single kedua yang diberi judul Hidup Denganmu Mati Tanpamu.

"Mereka kini umpama gunung berapi yang sedang meletuskan laharnya kembali," ujar seorang pemerhati muzik seni terhadap kebangkitan Ariel bersama Noah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan