Sabtu, 22 September 2012

Kematian Anna Akibat Kecuaian


KUCHING: Jawatankuasa Siasatan Luar yang dilantik Jabatan Kesihatan Negeri mendapati kematian akibat kegagalan jantung pesakit Anna Kajan berpunca daripada kecuaian kakitangan Hospital Sri Aman.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan akan membayar pampasan kepada suami si mati, Tomsom Rudi Ramba, seorang buruh dari Lubok Antu.

Jawatankuasa berkenaan mencapai keputusan dalam satu mesyuarat pada Rabu lepas dan akan mengemukakan laporan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan syor mengenainya.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi DAP Sri Aman Leon Jimat Donald yang menemani Tomsom ke mesyuarat itu.

Leon berkata, mereka dimaklumkan terdapat kecuaian oleh kakitangan hospital dan mengesahkan si mati meninggal dunia kerana kegagalan jantung.

“Memandangkan tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap Anna, wujud justifikasi bagi memohon pampasan kepada Tomson kerana jika pihak hospital cuba menyelamatkan dia ketika tiba di hospital, dia mungkin masih hidup hari ini.

“Oleh kerana kurang efisien dan terlepas pandang oleh kakitangan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital Sri Aman pada hari berkenaan, ia telah menyebabkan kehilangan satu nyawa,” ujar Leon.

Tomsom memohon pampasan daripada hospital memandangkan isterinya meninggal dunia di wad kemalangan selepas kembali ke situ semula dua jam kemudian apabila mereka tidak diterima oleh kakitangan di situ.

Dia membawa isterinya ke hos- pital itu dari Lubok Antu selepas mengadu sakit dada, tetapi diarahkan ke poliklinik di mana mereka terpaksa menunggu doktor selama dua jam.

Apabila tiba giliran, katanya, doktor dengan segera cuba merawat isterinya dan mendapati dia berhadapan dengan masalah jantung.

Mereka kemudian menunggu ambulans tiba untuk membawa Anna dari poliklinik ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital Sri Aman semula tetapi gagal menyelamatkannya apabila tiba di hospital.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkilfi Jantan mengesahkan ada siasatan dilakukan berhubung kematian Anna.

Katanya, jawatankuasa siasatan boleh ditubuhkan selepas menerima aduan oleh ahli keluarga apabila wujud kecuaian atau punca-punca lain.

“Laporan akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan yang akan menentukan jenis tindakan diambil terhadap kakitangan terbabit. Kementerian juga akan membayar pampasan terhadap ahli keluarga terlibat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan