Sabtu, 8 September 2012

Kes Penipuan Kad Kredit, Pemuda Direman Empat Hari

Seorang lagi suspek kes penipuan kad kredit direman empat hari 

KUCHING: Seorang pemuda direman empat hari semalam bagi membantu polis menjalankan siasatan ke atas kes penipuan kad kredit di sini baru-baru ini.

Pendaftar mahkamah, Brian Bryan Mason mengarahkan tahanan reman empat hari tersebut seperti yang dimohon oleh pegawai siasatan kes berkenaan.

Suspek, 27, yang beralamat kediaman di salah sebuah universiti awam tempatan di sini telah ditahan Khamis lepas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan yang turut membabitkan seorang wanita.

Sebelum penahanan suspek Khamis lepas, polis telah menahan seorang wanita tempatan susulan rampasan 29 kad kredit yang didaftarkan atas nama beberapa individu yang dipercayai dipohon secara haram.

Pada sidang media oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mohammad Firdaus, 29 Ogos lepas, siasatan awal mendapati kesemua kad kredit tersebut telah didaftarkan ke atas beberapa individu yang dipercayai dipohon secara haram oleh wanita berumur 37 tahun itu.

Wanita berkenaan dipercayai memalsukan atau menggunakan butiran peribadi individu tertentu tanpa kebenaran, jelas Firdaus.

Anggaran penipuan kad kredit tersebut mencecah RM150,000 dan kebanyakan daripada mangsa suspek terdiri daripada individu yang ada membuat permohonan pinjaman bank seperti pinjaman pembelian kereta dan sebagainya.

Susulan kes penipuan tersebut, orang awam dinasihatkan agar tidak sesekali menandatangani mana-mana dokumen kosong bagi mengelak daripada perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan