Selasa, 18 September 2012

KLIP Video Filem Innocence Of Muslims Tidak Disekat Sepenuhnya


KUALA LUMPUR - Enjin carian internet Google telah menyekat akses klip video filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam daripada ditonton oleh para pelayar laman YouTube di Malaysia sejak semalam.

Bagaimanapun, sekatan itu tidak menyeluruh kerana sehingga lewat malam tadi, pengguna pakej jalur lebar Maxis dan Celcom masih boleh mengakses klip video tersebut melalui telefon bimbit.

Filem tersebut tidak lagi boleh diakses oleh sebahagian pelayar internet setelah pihak Google Malaysia menyekat akses laman YouTube klip video kontroversi tersebut sebagai respons kepada desakan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Sabtu lalu yang mahu Google menarik balik klip video filem kontroversi itu.

Mana-mana pihak yang cuba melayari video itu dari alamat penyedia Internet Malaysia (IP) akan menerima mesej yang bertulis: 'Kandungan video ini tidak didapati di negara anda kerana aduan undang-undang. Maaf mengenai perkara ini.'

Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof mengesahkan video tersebut telah disekat di Malaysia.

"Kami diberitahu bahawa sebuah video adalah haram di negara ini, kami akan menyekat akses kepada video tersebut selepas pemeriksaan teliti," katanya.

Filem arahan Sam Bacile Nakoula, 52, berketurunan Mesir dari California, Amerika Syarikat (AS) itu yang disiar dalam laman YouTube telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang mengadakan bantahan sejak Selasa lalu.

Dalam insiden berkaitan dengan filem itu, Duta AS, ke Libya, Chris Stevens bersama tiga pegawai AS lain maut pada Selasa lalu dalam serangan sekumpulan militan di Pejabat Konsulat AS di Benghazi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan