Selasa, 18 September 2012

Tidak Sanggup Kembar Dipisah

Muaimin Azli (kanan) dan abangnya, Muaiman 

KUALA LUMPUR – Meskipun sudah mampu menjalani kehidupan normal, sepasang kembar Siam yang menjalani pembedahan maraton di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hampir dua bulan lalu masih tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka di Johor.

Bapa kembar tersebut yang kini berusia 17 bulan, Azli Sabran berkata, hal tersebut disebabkan keadaan Muaimin yang kini memiliki kaki kanan sahaja sering menghidap demam berbanding abangnya, Muaiman yang sentiasa ceria.

Katanya, kedua-dua anaknya itu masih menggunakan saluran paip khas setiap kali mereka mahu membuang air besar selain memakan ubat-ubatan yang ditentukan oleh doktor.

“Saya lebih rela berada lebih lama di hospital untuk menjaga mereka kerana yang penting mereka mesti betul-betul sihat sebelum dibawa pulang ke rumah.

“Tentu sukar untuk kami berulang-alik dari Segamat ke sini sekiranya mereka memerlukan rawatan tertentu selepas dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Pasangan kembar itu mencatatkan sejarah tersendiri dalam dunia perubatan negara apabila mereka yang mempunyai tiga kaki, bercantum di bahagian tulang pinggul, berkongsi usus dan saluran kencing berjaya dipisahkan oleh sekumpulan pakar perubatan di HKL pada Julai lalu.

Pembedahan maraton yang memakan masa selama 24 jam itu dibiayai sepenuhnya oleh HKL.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan