Rabu, 5 September 2012

Lelaki Bertarung Nyawa Selepas Dilibas Taji

Suspek diiringi masuk ke dalam van polis untuk dibawa ke Balai Polis Sarikei 

SIBU: Seorang lelaki kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu kerana cedera di bahagian leher, dada, belakang dan perutnya selepas dilibas dengan taji dalam satu pergaduhan di rumah kongsi di pekan Tanjung Manis malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku sekitar lebih jam 9.00 malam, apabila mangsa berketurunan Bumiputera itu terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang suspek yang juga berumur dalam lingkungan 30-an.

Suspek dikatakan melarikan diri bersama isterinya dengan menaiki sebuah motosikal ke Sibu selepas insiden pergaduhan itu.

Suspek juga dipercayai menggunakan senjata tajam untuk mencederakan mangsa yang cedera di bahagian leher, dada, belakang dan perutnya.

Sejurus selepas kejadian, keluarga mangsa terus memaklumkan perkara itu kepada pihak polis dan menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Sibu.

Bertindak daripada maklumat, polis telah mengadakan sekatan jalan di antara kawasan Bawang Assan dan Sibu.

Nyata jangkaan polis tepat apabila suspek bersama isterinya berjaya ditangkap semasa cuba melarikan diri ke Sibu menaiki sebuah motosikal sekitar jam 11.00 malam.

Suspek bersama isterinya juga berumur dalam lingkungan 30-an kemudiannya ditahan manakala sebuah motosikal turut dirampas. Suspek dihantar ke Sarikei tengah hari semalam kerana kes tersebut telah dilaporkan di Sarikei.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan