Khamis, 13 September 2012

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Cabul Gadis


MIRI: Seorang lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pagi kelmarin terhadap tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang gadis bawah umur.

Komarudin, 28, yang berasal dari Indonesia serta beralamat di Lorong 9 Piasau Industrial di sini telah didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang gadis berusia 15 tahun iaitu dengan memeluk, mencium dan memegang payudara mangsa dengan cara menolak badan serta menanggalkan pakaiannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.09 petang, 31 Ogos lalu di sebuah rumah di Senadin.

Terdahulu, pengawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan kes ini memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan lanjut kes ini.

Manakala tertuduh yang tidak boleh dibebas dengan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan