Ahad, 9 September 2012

Lelaki Parah Diserang Adik Perempuannya

Mangsa dibawa ke HUS untuk rawatan lanjut

KUCHING: Seorang lelaki parah selepas diserang adik perempuannya menggunakan parang serta botol kaca di rumah mereka lewat malam kelmarin.

Mangsa, 34, semasa kejadian dikatakan sedang minum bersama beberapa orang rakan di rumahnya yang terletak di Malihah, Matang, di sini sekitar jam 11.10 malam.

Menurut sumber, suspek yang baharu pulang dan dipercayai berada dalam pengaruh alkohol terus meluru ke arah dapur dan keluar beberapa minit kemudian membawa sebilah parang.

Suspek yang hanya berbadan kecil itu kemudian melibas-libaskan parang yang dipegangnya dan menetak bahagian tengkuk abangnya yang semasa kejadian sedang asyik berbual dengan rakannya.

Belum berpuas hati melihat kecederaan abangnya itu, suspek dikatakan mengambil sebiji botol kaca lalu menghempasnya ke dahi mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut rakan mangsa, suspek juga sempat menunjukkan isyarat lucah kepada mereka.

“Dia (suspek) mungkin mabuk disebabkan itu dia berkelakuan sedemikian,” kata rakan mangsa.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan sehingga berita ini ditulis, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan belum ada tangkapan dilakukan.

Siasatan polis berhubung kejadian juga masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan