Ahad, 9 September 2012

Pengawal Keselamatan Cedera Diserang


SIBU: Seorang pengawal keselamatan dimasukkan ke wad hospital di sini selepas dia diserang oleh orang yang tidak dikenalinya semasa pergi ke tempat kerja tidak jauh dari tempat tinggalnya di Batu 22, Jalan Oya pagi kelmarin.

Kejadian itu berlaku semasa mangsa berumur 32 tahun sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Menara Telekom dekat situ apabila sebuah kereta Proton Saga berwarna putih tiba-tiba berhenti di depannya.

Menurut laporan, salah seorang daripada tiga orang lelaki yang tidak dikenalinya keluar dari kereta tersebut dan bersenjatakan parang untuk menyerangnya.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami luka di antara ibu jari dan jari telunjuk tangan kirinya.

Bagaimanapun, lelaki yang menyerang mangsa terus melarikan diri dan masuk semula ke dalam kereta Proton Saga itu sebelum mereka beredar dari situ.

Mangsa percaya lelaki yang menyerangnya itu mungkin sedar bahawa dia telah tersilap orang.

Mangsa kemudiannya menunggang motosikalnya pergi ke hospital untuk mendapat rawatan sebelum dia dimasukkan ke dalam wad.

Menurut mangsa dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan berasa terkilan mengenangkan nasibnya yang malang. Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut telah diterima di Balai Polis Sentral pagi kelmarin.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan