Isnin, 17 September 2012

Mayat Mangsa Lemas Ditemui Di Dasar Sungai

Papan luncur yang telah diubahsuai

KUCHING: Mayat Zulhaffiq Fadiey Randy, 12, ditemui di dasar sungai semalam, beberapa kilometer dari lokasi mangsa terjatuh selepas papan luncur diubah suai yang dinaikinya terbalik ketika menyeberangi Sungai Sarawak.

Menurut Komander Operasi Mohd Raffy Saibi, mangsa ditemui dalam jangka masa sembilan minit selepas operasi menyelam oleh Unit Penyelamat di Air dimulakan kira-kira jam 10.34 pagi.

“Mangsa dijumpai di dasar sungai kira-kira 20 meter dari tebing sungai, tidak jauh dari tempat dia terjatuh,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut beliau, gerakan mencari dan menyelamat hari kedua itu dimulakan seawal jam 8 pagi semalam.

Enam orang anggotanya dari Balai Bomba Petra Jaya yang melakukan pencarian di permukaan air dibantu oleh Unit Penyelamat di Air dari Batu Lintang seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Affendy Awang Dauf.

Manakala logistik yang digunakan pula adalah sebuah Mitsubishi Pajero dan dua bot aluminium.

Sekitar jam 11.30 pagi Sabtu lepas, mangsa yang berasal dari Kampung Sinjan bersama bapa saudaranya yang mendayung papan luncur itu menuju ke tengah sungai untuk menyaksikan temasya sukan air.

Bagaimanapun, ia bertukar tragedi selepas papan luncur tersebut terbalik akibat gelombang kuat.

Cubaan bapa saudaranya menyelamatkan mangsa gagal, selepas mangsa hilang dari pandangan dan dia kemudiannya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Gerakan mencari itu turut disertai oleh pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan