Sabtu, 22 September 2012

Pemuda UMNO, PAS Anjur Protes Berasingan

Khairy Jamaluddin menyertai Himpunan Aman bantah Filem-Anti Islam



KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO akan mengadakan protes berasingan daripada Dewan Pemuda PAS bagi mengecam penerbitan filem anti-Islam ‘Innocence of Muslims’ dan kartun di dalam majalah Perancis Charlie Hebdo, hari ini.

Ia dilakukan atas faktor keselamatan setelah berbincang dengan Ketua Dewan Pemuda PAS kelmarin, dan mendapat nasihat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

“Kami risau dari segi keselamatan apabila terlalu ramai penyokong politik yang berbeza bertembung di Kedutaan Amerika Syarikat, keadaannya panas dan kami telah buat keputusan itu. Tujuan esok (hari ini) melahirkan bantahan filem Innocence of Muslim, jangan perkara itu ditenggelami oleh kerana insiden yang boleh berlaku.

“Saya juga rujuk kepada Menteri Dalam Negeri, hendak pastikan esok selamat dan saya dapat nasihat lebih baik kita pecahkan ‘crowd’, kalau tidak (akan menjadi) terlalu ramai dan ada kebimbangan sesuatu boleh berlaku dan kita tak nak hantar mesej yang salah kepada masyarakat dunia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Isnin lepas, Khairi mengumumkan UMNO dan PAS akan bergabung dalam bantahan besar-besaran bagi mengutuk filem terbitan Sam Bacile dari California, Amerika Syarikat itu esok (hari ini).

Khairy berkata, perhimpunan Pemuda UMNO, pergerakan Pemuda parti-parti komponen serta lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat esok (hari ini) manakala Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan protes di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.

Selain parti-parti komponen, antara NGO terlibat dalam protes di pekarangan Masjid Kampung Baru esok (hari ini) termasuk Pertubuhan Peribumi Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Malaysia, Alumni Aspirasi dan Belia 4B.

“Esok (hari ini) kita akan berkumpul, saya menjemput semua datang bukan sahaja yang beragama Islam tetapi yang tidak. Walaupun antara objektif utama untuk lahirkan bantahan terhadap filem dan kartun tetapi ini juga mengenai ‘hormat terhadap semua agama,” katanya yang menjangkakan sebanyak 5,000 orang ramai akan turut serta.

Minggu depan, Khairy berkata Gerakan Pemuda UMNO turut akan menganjurkan program Malam Cintai Rasul atas objektif yang sama bagi melahirkan bantahan, namun dalam bentuk yang lebih tenteram.

“Kita akan jemput semua terutama umat Islam untuk berhimpun dalam keadaan berbeza untuk kita baca puisi dan kongsi pandangan dan lahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW, saya juga akan menjemput Pemuda PAS, dalam keadaan yang lebih tenteram daripada esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman sosial Twitternya yang mempertikai umat Islam membantah dan menentang filem itu, Khairy berkata pucuk pimpinan DAP perlu tampil menjelaskan kenyataan itu.

“Keengganan Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) untuk beri kenyataan, untuk tegur beliau (Ngeh) adalah gambaran yang jelas bahawa ini merupakan sentimen parti DAP itu sendiri, kalau dia bertanggungjawab dia akan keluarkan kenyataan,” tambahnya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan