Sabtu, 22 September 2012

Protes Aman Bantah Penerbitan Filem ‘Innocence Of Muslims’

Umat Islam berarak dari Masjid Bahagian Kuching menuju ke Balai Polis Sentral semalam



KUCHING: Ratusan umat Islam berhimpun di Masjid Bahagian Kuching semalam untuk mengadakan protes aman bertema ‘We Love Muhammad’ bagi membantah tindakan penerbitan filem ‘Innocence of Muslims.’

Protes diketuai oleh Datuk Idris Buang yang bermula di Masjid Bahagian Kuching dan berakhir di Balai Polis Sentral itu cukup terkawal tanpa berlaku sebarang kemusnahan harta benda awam.

Menurut Idris, laporan polis yang dibuat semalam adalah terhadap penerbit, pengedar, laman sesawang, domain awam, percetakan berkaitan filem tersebut serta karikatur yang terpampang dalam Chart Magazine.

“Apa yang mereka lakukan ini adalah menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan kesucian Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Idris berkata, sepatutnya tindakan seperti itu tidak berlaku memandangkan umat Islam amat menghormati penganut agama lain.

“Malah, penganut agama lain di Malaysia juga tidak suka atau bersetuju dengan tindakan mereka (penerbit filem) menayangkan filem ini,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas ini pihaknya akan menubuhkan Kelab Kami Cinta Muhammad untuk menunjukkan sokongan penuh kepada Rasulullah SAW dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dunia.

Dalam pada itu, Idris menambah, sepucuk surat akan dihantar kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kerana negara-negara Arab mempunyai kuasa dari segi pengeluaran minyak.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini sepatutnya diajar dengan sewajarnya, agar negara terlibat tidak mengulangi kesalahan sama,” jelasnya.

Selain itu, kumpulan sama turut membuat satu lagi laporan polis terhadap pemimpin DAP, Ngeh Ko Ham yang memperlekehkan tindakan umat Islam mengadakan protes terhadap filem berkenaan.terkutuk penerbitan filem ‘Innocence of Muslims.’


Tiada ulasan:

Catat Ulasan