Selasa, 4 September 2012

Penambang Temui Mayat Berhampiran Jeti Ban Hock

Tebingan Kuching digemparkan dengan penemuan mayat dipercayai warga asing

KUCHING: Seorang penambang dikejutkan dengan penemuan mayat dalam keadaan kembung berhampiran jeti Ban Hock di Tebingan Kuching, pagi semalam.

Dalam penemuan sekitar jam 7 pagi itu, penambang berkenaan kemudian menunda mayat tersebut ke jeti berhampiran pondok polis pelancong di Tebingan Kuching.

Perkara itu dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, yang seterusnya menyampaikan maklumat itu kepada polis pelancong.

Pegawai penyiasat daripada Balai Polis Sentral segera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada polis pelancong.

Berdasarkan siasatan awal dengan mengambil kira keadaan mayat, lelaki dipercayai warga asing itu telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lepas.

Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat. Polis sedang menyiasat kes tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan