Wan Uzir (dua kiri) menguji ketepatan alat penimbang yang digunakan oleh peniaga
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam mengesan 16 kes penipuan alat timbang dan sukat di negeri ini membabitkan rampasan bernilai RM27,000.
Dalam operasi yang diadakan secara serentak di seluruh negeri itu semalam, KPDNKK dengan kerjasama Metrologi Corporation Malaysia Sdn Bhd turut mengeluarkan 33 amaran.
Menurut Pengarah KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, kebanyakan daripada 16 kes semalam membabitkan tamat tempoh dan peniaga perlu mengambil semula alat timbang yang dirampas dengan bayaran kompaun RM300.
“Operasi ini tertumpu di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan kami akan merampas terus alat-alat penimbang sama ada jenis elektronik atau neraca yang didapati telah tamat tempoh atau tidak tepat.
“Di bawah akta ini, jika peniaga enggan atau gagal menjelaskan bayaran kompaun, mereka boleh dikenakan denda RM4,000 atau penjara tiga tahun.
“Jadi, kami tidak mahu mendengar alasan popular daripada para peniaga iaitu lupa, kerana tidak ada lagi amaran untuk operasi seterusnya dan kami akan merampas terus alat-alat timbang dan sukat yang melanggar akta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas operasi semakan alat timbang dan sukat di Pasar Tamu Satok di sini semalam.
Turut serta pada operasi tersebut ialah Pegurus Cawangan Metrology Malaysia Sdn Bhd Amirul Husaini A. Hamid serta pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNKK yang lain.
Kesemua 16 kes semalam dikenal pasti di Bintulu dan Kuching masing-masing tujuh dan sembilan kes, dan dijangka bertambah hasil daripada operasi yang dilakukan di bahagian-bahagian lain di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDNKK pada operasi itu semalam turut merampas sebanyak 351 unit cakera padat cetak rompak bernilai RM1,755 daripada sebuah premis yang beroperasi di sekitar Satok di sini.
Rampasan di luar jangkaan oleh KPDNKK itu turut menyaksikan premis berkenaan diarahkan tutup serta-merta kerana menjual cakera padat cetak rompak secara terbuka di tempat awam.
Pada masa yang sama satu lagi kes membabitkan kegagalan meletak tanda harga turut dikenal pasti oleh KPDNKK menerusi operasi yang diadakan di Pasar Tamu Satok itu semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan