Isnin, 17 September 2012

Penduduk Miri Sambut Hari Malaysia Di Jalan North Yu Seng

DJ Honey G


MIRI: Jalan North Yu Seng di sini malam kelmarin dipenuhi ribuan penduduk Miri untuk berhibur dan bergembira dalam ‘Street Party’ sempena meraikan sambutan Hari Malaysia dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Persembahan pentas dengan iringan muzik rancak oleh DJ Honey G dari Thailand menghangatkan suasana parti sementara menunggu detik 12 malam, 16 September.

Pentas dimeriahkan dengan persembahan `live band’ daripada Celebrities Club, Cherrie Berries dan World Club Station.

Penduduk yang mula membanjiri jalan berkenaan sejak jam 7 malam turut dihiburkan dengan persembahan tarian rancak daripada kumpulan tarian 20 Miri Street Dance.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berpuas hati dengan sokongan penduduk Miri terhadap penganjuran aktiviti itu yang turut menggambarkan semangat patriotik mereka terhadap Sarawak dan penubuhan negara.

“Saya gembira melihat ramai penduduk Miri hadir pada malam ini dan memeriahkan lagi aktiviti ini untuk meraikan bersama Hari Malaysia,” jelas Lee. Hadir sama ialah Datuk Bandar Miri Lawrence Lai dan usahawan Hii King Chiong.

Aktiviti lain yang turut dianjurkan oleh MBM meraikan Hari Malaysia di sini ialah aktiviti berbasikal beramai-ramai, pertandingan bola keranjang tiga sebelah dan bola sepak empat sebelah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan