Jumaat, 14 September 2012

Risiko Tanah Runtuh Dikurangkan

Meninjau keadaan jalan runtuh di Jalan Lusut, Riam semalam

MIRI: Kerja menukar pembetung-pembetung lama jalan raya akan dipercepatkan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh akibat hakisan ketika musim tengkujuh.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata, pembetung-pembetung lama akan diganti dengan pembetung konkrit yang baharu dan lebih tahan.

Beliau mengulas perkara itu semasa meninjau masalah jalan runtuh di Jalan Lusut, Riam yang disebabkan oleh hakisan tanah semalam.

“Masalah ini disebabkan oleh hakisan yang menyebabkan pembetung lama runtuh, sekali gus meruntuhkan jalan ini.

“Kita akan membina pembetung konkrit bagi menggantikan pembetung lama. Ia melibatkan kos sebanyak RM38,000. Kita menjangkakan kerja-kerja membaik pulih ini siap penghujung November ini,” jelasnya.

Pembetung lama itu dipercayai telah mengalami kerosakan sejak bulan Februari lalu dan runtuh kerana kerap dilalui kenderaan berat.

Lee yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu, kerja-kerja memperbaiki keadaan Jalan Lusut, di Riam juga akan dilaksanakan.

“Kita juga akan percepatkan kerja-kerja membaik pulih jalan yang rosak kerana jalan ini merupakan jalan penghubung untuk penduduk dari Jalan Lusut ke Taman Tunku,” jelas Lee.

Sementara itu, projek akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM). Hadir sama ialah Datuk Bandar, Lawrence Lai dan usahawan Hii King Chiong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan