Jumaat, 14 September 2012

IPhone 5 Mula Dijual di AS

Model telefon pintar terbaharu keluaran Apple, iPhone 5 

SAN FRANCISCO - Telefon pintar iPhone terbaharu keluaran Apple Inc. mula dijual hari ini dengan paparan skrin lebih besar dan dilengkapi teknologi tanpa wayar 4G.

Gajet terbaharu Apple itu dijadualkan berada dalam pasaran di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Britain pada bulan ini. IPhone 5 juga akan mula dijual di 100 negara di dunia menjelang hujung tahun ini.

Telefon pintar itu dilihat mampu memberi kelebihan kepada Apple dalam persaingannya dengan Syarikat Elektronik Korea Selatan, Samsung dan gajet keluaran Google Inc.

Namun, iPhone 5 gagal menawan beberapa penganalisis teknologi dan pakar gajet menjelang pelancarannya di Amerika Syarikat kelmarin.

"Tidak ada faktor kejutan kerana apa yang anda lihat hari ini sekadar evolusi. Saya tidak fikir ia mencukupi untuk memuaskan hati (pengguna)," kata Ketua Eksekutif Syarikat Pengurusan Kekayaan, Michael Yoshikami.

Para penganalisis bagaimanapun mengunjurkan jualan gajet terbaharu itu akan dapat dijual antara 10 juta hingga 12 juta unit pada bulan ini sahaja.

Iphone 5 memiliki paparan skrin lebih besar bersaiz 10.16 sentimeter dengan fungsi internet berkelajuan tinggi 4G dan 20 peratus lebih ringan daripada model sebelum ini, iPhone 4S.

Antara ciri ditingkatkan model baharu tersebut adalah iPhone 5 dapat digunakan untuk melayari web menerusi teknologi 4G selama 8 jam tanpa henti.

Gajet berkenaan boleh ditempah hari ini di AS pada harga bermula daripada AS$199 (RM619) bersama pelan data. - Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan