Lee menyampaikan sumbangan kilat kepada Gelunsin
MIRI: Sebuah keluarga di Tudan Fasa 3 di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran malam kelmarin.
Mangsa, Gelunsin Choup, 67, memberitahu ketika kejadian jam 8 malam itu, mereka sekeluarga tiada di rumah kerana sedang berniaga di tamu sebuah pasar raya komersial dekat Tudan.
“Kami tiada di rumah semasa kejadian dan hanya diberitahu oleh jiran-jiran terdekat selepas mendapati api marak dengan cepat dan memusnahkan semua harta benda,” katanya ketika ditemui semalam.
Gelunsin memberitahu, biarpun tidak dapat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting, beliau bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawa mereka sekeluarga.
Jumlah kerugiaan katanya mencecah lebih RM50,000 manakala punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Gelunsin tinggal bersama enam anak dan menantunya di rumah kayu tersebut sejak lebih 10 tahun dan kejadian terbabit menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat berteduh.
Sementara itu, dua jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran daripada teruk marak.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin turut meluangkan masa melawat mangsa bersama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan penyambungan elektrik secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan litar pintas seterusnya mencetuskan kebakaran.
“Kebiasaannya kebakaran berlaku adalah disebabkan lintar pintas akibat sambungan kabel elektrik secara berlebihan tetapi malangnya masih ramai yang tidak sedar dengan risiko ini,” katanya.
Beliau turut memuji Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PBSM kerana bertindak cepat dalam menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa dalam tempoh 24 jam.
“Kita berharap sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas ini mampu mengurangkan beban mangsa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan