Rabu, 19 September 2012

Motif Kes Tembak Disiasat

Anggota forensik sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian

KUCHING: Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian Rahman Chumani yang ditembak di pekarangan rumahnya, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata siasatan daripada semua aspek akan dijalankan berhubung insiden tersebut yang berlaku di Kampung Segedup, di sini sekitar jam 8 malam, 17 September lepas.

“Punca atau motif pembunuhan tersebut masih dalam siasatan dan pihak kami akan terus menjalankan siasatan daripada semua aspek,”katanya ketika dihubungi semalam.

Mangsa,38, yang dianggap seorang yang peramah dan taat kepada agama oleh kebanyakan kenalannya telah ditembak mati dengan senjata dipercayai senapang patah oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Menurut laporan akhbar semalam, anak sulung mangsa Mohd Izat Izzudin,17, berkata dia pada mulanya melihat suspek yang menggunakan baju berwarna kuning dan berseluar pendek berwarna hitam muncul dari belakang rumahnya.

Menurutnya, suspek kemudian bertanyakan kepadanya di mana mangsa yang juga bapanya berada.

Menyangkakan suspek adalah kenalan bapanya, dia kemudian segera memanggil bapanya yang berada di dalam rumah dan sejurus sahaja bapanya keluar untuk berjumpa dengan suspek dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tembakan.

Kesemua ahli keluarga mangsa kemudian bergegas ke luar rumah dan mendapati mangsa rebah dan berlumuran darah di pekarangan rumahnya akibat terkena tembakan jarak dekat.

Menurut anak ketiga mangsa yang hanya dikenali sebagai Faiz,13, dia sempat melihat dua lelaki dipercayai suspek melarikan diri dari rumahnya menggunakan sebuah motosikal.

“Seorang lelaki melepaskan tembakan dan seorang lagi menunggu di atas sebuah motosikal sebelum kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian selepas tembakan dilepaskan,”katanya.

Mangsa yang merupakan seorang pemandu lori meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Pasukan paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) bergegas ke tempat kejadian dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu pihak polis semalam telah menahan seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan berhubung kematian Rahman.

Roslan berkata, lelaki tersebut telah ditahan di sebuah rumah di Samarindah, Kota Samarahan petang semalam hasil risikan pihak polis.

“Lelaki itu ditahan untuk disoal siasat berhubung kes tersebut namun setakat ini masih terlalu awal untuk kami membuat sebarang kesimpulan sementara siasatan masih dijalankan,” katanya semasa dihubungi semalam.

Selain itu, hasil bedah siasat mangsa yang dijalankan dari jam 2.30 hingga 6 petang semalam mengesahkan kematian adalah disebabkan kecederaan serius pada bahagian kepala dan leher mangsa.

Menurut sumber, sebanyak 18 biji peluru senjata dipercayai senapang patah itu telah ditemui di kepala dan leher mangsa.

Mayat mangsa dibenarkan dituntut ahli keluarganya sejurus selesai proses bedah siasat tersebut semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan