Selasa, 11 September 2012

Seorang Lagi Suspek Rompakan Bersenjata Kedai 24 Jam Diburu


KUCHING: Polis sedang memburu seorang lagi sus­pek rompakan bersenjata di dua kedai 24 jam berasingan berikutan penahanan dua suspek dalam tempoh 20 jam selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, penangkapan seorang suspek Cina yang berusia 20 tahun di tempat ker­janya di sebuah pusat hiburan di Green Height di sini malam Sabtu lepas mendedahkan identiti dua lagi individu yang terlibat dalam rompakan tersebut.

“Seorang suspek yang se­dang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dita­han (pagi semalam) manakala seorang lagi sedang dikesan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Akhbar tempatan pada Sabtu lepas melaporkan dua lelaki bertopeng dan bersen­jatakan parang merompak dua kedai 24 jam di pusat komersial Premier 101 sekitar jam 2 pagi dan di Kota Sentosa sekitar jam 2.49 pagi.

Mangsa dalam kedua-dua kes tidak mengalami se­barang kecederaan dan keru­gian dianggarkan berjumlah RM500.

Menurut Roslan, polis tu­rut merampas kereta Toyota Hilux berwarna hitam, paka­ian dan senjata yang digunakan dalam rompakan tersebut.

Katanya suspek direman se­lama tujuh hari bermula Ahad lalu hingga Sabtu ini untuk membantu siasatan. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan. Sabit kesalahan boleh dipen­jara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara itu, Roslan mem­beritahu bahawa polis berjaya menyelesaikan kes samun berhampiran sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman dalam jangka masa lima minit selepas kedua-dua suspek ditangkap.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 18 tahun sedang duduk di sebuah pon­dok sekitar jam 3 petang pada Sabtu lepas apabila didatangi dua suspek yang mengacu­kan pisau secara tiba-tiba ke arahnya.

Kedua-dua lelaki berbangsa Melayu tersebut merompak wang tunai lebih kurang RM48 dan sebuah telefon bimbit jenis Etouch daripada mangsa.

“Selang beberapa minit se­lepas kejadian, iaitu kira-kira jam 3.05 petang, pihak polis berjaya menangkap kedua-dua suspek berusia dalam lingkun­gan 18 hingga 21 tahun itu.

“Kedua-dua suspek men­gaku terlibat dalam rompakan tersebut,” katanya.

Turut dirampas daripada kedua-dua suspek adalah wang tunai RM38, dua telefon bimbit, pisau memotong dan rantai besi bermangga.

Suspek direman enam hari mulai Ahad lepas hingga Jumaat ini untuk membantu siasat. Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan