Selasa, 11 September 2012

Pelajar Rugi Lebih RM1,000 Setelah Dirompak

MIRI: Seorang pelajar kerugian lebih RM1,000 setelah dirompak seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang menunggu bas untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian yang berlaku di sebuah perhentian bas di Pusat Komersil Pelita di sini malam Sabtu lalu.

Selain dirompak, mangsa yang berusia 15 tahun turut cedera di mata dan telinga kanan serta lebam di beberapa bahagian badan setelah dibelasah oleh perompak terbabit yang bersenjatakan besi buku lima.

Terdahulu menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam Sabtu lalu, mangsa bersama seorang lagi rakan yang baharu balik dari sebuah pusat siber di kawasan Pusat Komersil Pelita sedang menunggu bas di sebuah perhentian bas di kawasan berhampiran untuk pulang ke rumah mereka yang terletak di Senadin.

Ketika itu, hanya mereka berdua berada di perhentian bas berkenaan dan setelah menunggu lebih kurang 10 minit, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan marah-marah. Lelaki terbabit yang bersenjatakan besi buku lima terus bertindak membelasah mangsa dan rakannya.

Kedua-dua mereka cuba melawan namun tidak berdaya sehingga rakannya berjaya melarikan diri dengan meninggalkan mangsa terus dibelasah lelaki terbabit.

Setelah itu, lelaki terbabit telah memaksa mangsa agar menyerahkan beg sandangnya yang mengandungi dua unit telefon bimbit, seutas rantai emas dan wang tunai RM150 sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama seorang lagi rakan yang sedang menunggu di kawasan berhampiran.

Berikutan kejadin itu, mangsa dengan ditemani bapanya telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini kelmarin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan