Selasa, 18 September 2012

Similajau Memiliki Tarikan Eko Pelancongan Unik

Ng menanam pokok di hadapan Kaunter Pusat Maklumat Taman Negara Similajau 

BINTULU: Taman Negara Similajau berpotensi besar bagi menjadi salah sebuah pusat pelancongan berasaskan ekopelancongan kerana ia cukup kaya dengan khazanah semula jadi yang amat unik dan sukar dilihat di tempat lain, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen.

Tetapi sebelum itu katanya, faktor kemudahan penginapan yang selesa serta penyelenggaraan yang baik perlu diutamakan bagi memastikan setiap pelawat yang datang berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

Pihak pengurusan taman negara katanya harus tampil dengan idea kreatif bagi menjadikannya lebih menarik untuk dikunjungi dengan memperindahkan lagi kawasan sekitar taman selain daripada keindahan semula jadi yang terdapat di situ.

“Dengan cara demikian secara tidak langsung akan memberi kepuasan kepada pelawat yang ingin menikmati keindahan khazanah semula jadi dan sudah pasti mereka akan datang kembali setelah mengalami saat-saat percutian yang menyeronokkan di taman negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan dalam sesi lawatan singkat beliau ke taman negara terbabit petang Ahad lepas yang mana turut ditemani oleh pegawai dari Kementeriannya.

Ng yang sebelum ini hanya mengetahui Taman Negara Similajau melalui rakan-rakannya yang pernah menjejakkan kaki ke taman negara berkenaan, membuatkannya ingin melihat sendiri akan keindahan tempat yang diuar-uarkan itu.

“Saya berasa amat teruja dengan khazanah alam semula jadi yang terdapat di Taman Negara Similajau dan setelah saya melihat dengan mata saya sendiri keindahannya, baharulah saya dapat melihat sendiri akan potensi yang terdapat di dalamnya bagi menjadi sebuah pusat pelancongan bertaraf antarabangsa suatu hari nanti,” jelasnya.

Beliau yang berasa amat teruja dengan kehadiran ikan lumba-lumba di sekitar perairan taman negara berkata bahawa ia merupakan antara tarikan utama bagi pengunjung kerana tidak dapat dilihat di kawasan pelancongan lain di negara ini.

Inilah jelasnya, yang boleh menjadikan Taman Negara Similajau menjadi lebih terkenal pada masa akan datang kerana di Semenanjung Malaysia amat jarang serta boleh dikatakan tiada langsung ikan lumba-lumba yang berenang menghampiri kawasan pantainya.

Pada masa sama, Ng turut mencadangkan kepada pihak pengurusan taman negara agar mewujudkan pakej berbasikal buat pengunjung yang berminat dalam sukan berbasikal kerana ia membolehkan golongan terbabit menerokai kawasan sekitarnya dengan lebih mudah dan cepat.

“Walaupun ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Taman Negara Similajau, namun saya merasakan yang ia merupakan sebuah tempat yang menarik untuk dikunjungi dan diterokai terutama buat pencinta alam semula jadi.

“Saya percaya masih banyak lagi tempat di Bintulu dan Sarawak amnya masih belum diterokai untuk tujuan eko pelancongan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan