Selasa, 18 September 2012

Keputusan Tidak Sekat Pekerja Sarawak, Sabah Disambut Baik


KUCHING: Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU) menyambut baik keputusan kerajaan Singapura tidak mengenakan sekatan ke atas pekerja dari Sarawak dan Sabah untuk bekerja di re­publik itu. Presidennya Sai Malaka ber­kata, keputusan yang dibuat oleh Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) itu penting untuk mengekalkan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Singapura telah menun­jukkan bahawa mereka tidak mengamalkan diskriminasi dan ia amat penting untuk memastikan kerjasama yang kuat antara ahli-ahli negara ASEAN dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan Singapura untuk tidak mengenakan sekatan terhadap pekerja dari Sarawak dan Sabah susulan laporan media baru-baru ini mengenai dasar baharu repub­lik itu menyekat peribumi dari dua negeri ini daripada bek­erja di negara berkenaan.

Persatuan pada masa yang sama sering menekankan di kalangan rakyat Sarawak yang bekerja di luar negeri mengenai kepentingan bek­erjasama dan mengekalkan hubungan sihat dengan ma­jikan luar mereka.

Ketika dihubungi semalam, Sai turut menasihati rakyat Sarawak yang berhasrat untuk bekerja di Singapura atau negara-negara asing yang lain supaya memohon permit bekerja melalui saluran yang tepat.

Dalam pada itu, agensi ber­ita negara, Bernama semalam mengesahkan bahawa MOM tidak mengenakan sekatan terhadap pekerja dari Sarawak dan Sabah untuk bekerja di republik itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Su­ruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, kerajaan Singapura terus meluluskan permit kerja untuk pekerja dari Sarawak dan Sabah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan