Gambar menunjukkan Nakoula (kiri) duduk bersama Gurji
LOS ANGELES - Wajah penulis skrip filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, Nakoula Basseley Nakoula disiarkan di laman YouTube semalam.
Gambar tersebut menunjukkan dia duduk bersama pelakon Anna Gurji di set filem Innocence of Muslims yang mengaibkan Nabi Muhammad. Akhbar Mail on Sunday di Britain turut menyiarkan gambar tersebut.
Nakoula dilahirkan di Mesir dan merupakan penganut Kristian Koptik. Dia yang berusia 55 tahun kini tinggal di California, Amerika Syarikat (AS). Nakoula pernah mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu di YouTube.
Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.
Dalam akhbar itu, Gurji yang memegang peranan sebagai isteri Nabi Muhammad berkata, dia kini bimbang tindak balas terhadapnya ekoran filem tersebut. Menurutnya, dia ditipu Nakoula kerana pada mulanya diberikan peranan sebagai isteri seorang lelaki bernama George. Bagaimanapun, katanya, nama George itu ditukar kepada Muhammad.
Dalam perkembangan yang sama, Nakoula kini sedang bersembunyi, kata pihak berkuasa AS. Menurut laporan agensi berita AP, Nakoula sebelum ini disoal oleh para pegawai runding cara di sebuah pejabat syerif di Cerritos, California kelmarin.
Dia disoal berhubung kes perlanggaran pembebasannya secara bersyarat ekoran menggunakan komputer untuk membocorkan sebahagian kandungan filem tersebut.
Menurut seornag jurucakap syerif, Steve Whitmore, selepas soal siasat itu, dia menaiki sebuah kereta meninggalkan pejabat tersebut.
"Selepas itu, anggota-anggota kami meninggalkan Nakoula di sebuah lokasi yang dirahsiakan. Kami tidak tahu ke mana dia pergi," katanya.
Nakoula telah dibebaskan secara bersyarat pada Jun 2011 selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan.
Dia didapati bersalah menipu bank dengan menggunakan identiti palsu dengan membuka 600 akaun bank.
Berdasarkan syarat pembebasannya, Nakoula tidak dibenarkan untuk menggunakan komputer serta internet selama lima tahun tanpa kebenaran daripada para pegawai perunding cara.
Hakim mungkin mengarahkan dia kembali dipenjarakan kerana melanggar syarat pembebasannya itu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan